.:KeNaLaN MaYA BoNDa:.

JoM TuKa LiNk di SINIE

Thursday, December 17, 2009

Bola & Awal Muharam...

Wahhh... rancaknyerrr ler lagu² bola kat radio sekarang nieh... tak cayer.. korang pasang radio.. dengar... bagi yg ada radio lar kan... tp sekarang dah canggih... dengar online kat pc pon boleh kan... rancak sungguh depa nak tgk Malaysia lawan final ngan Vietnam petang nie dlm Temasya Sukan Sea... wahhhh... kepada peminat bola mesti tak sabar² nak balik dah nie... apa² pon... aku harap Malaysia berjaya merangkul pingat emas.... setelah 20 tahun menunggu... patriotik tu penting!!

Aku nie bukanlah die hard fan bola sepak... kalau dulu tima "World Cup" mesti aku risau abah ngan abang booking TV tgk bola.... boring sehhhh... sepak² sana... sepak² sini.... pastu GOOOOLLLL.... bergegar rumah dibuatnya ngan jeritan adik badik lelaki aku... abah untung ada 4 anak laki bersorak tgk bola sama².... laki aku... hmmm... dia selalu curi kuar tgk bola kat kedai mamak kat screen besar... nak ajak aku... sowiiii... cannot layan larrr... hehehe... lain ler En. Ady Putra jadik striker... confirm I duduk tepi padang... hihi...

Hmmmm... walaupun aku tak minat bola... tapi kan... arinie aku pon nak balik awal juga... sbb mak aku nak p baca doa awal tahun.... esok kan Awal Muharam... and then masa aku dok check email... I came accross this one.. discussion yg agak menarik utk kita telitikan bersama... nie aku copy paste... bacalah moga ada manfaatnya....
____________________________________________________________________

SUNNAH DAN BID’AH DI BULAN MUHARAM

Oleh Ustaz Rasul Bin Dahri
(Dengan sedikit tambahan dari sumber yang lain)
http://fiqh-sunnah.blogspot.com

SUNNAH BERPUASA DI HARI ASYURA (HARI KE-10 DI BULAN MUHARAM)

Pada mulanya puasa Asyura adalah termasuk puasa yang fardu, namun setelah diwajibkan (disyariatkan) puasa Ramadan, maka puasa Asyura menjadi sunnah, sebagaimana penjelasan dari hadis berikut:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ فَرَأَى الْيَهُوْدَ تَصُوْمُ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ ، فَقَالَ : مَا هَذَا؟ قَالُوْا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحُ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللهُ بَنِيْ إِسْرِائِيْلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَ مُوْسَى ، قَالَ : فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوْسَى مِنْكُمْ ، فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ


“Ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam datang ke Madinah, maka baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa di hari Asyura, lalu baginda bertanya: hari apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu. Baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap puasa Musa dari kamu sekalian. Maka baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa”. (Hadis Riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130))


كَانَ يَوْمُ عَاشُوْرَاءَ يَوْمًا تَصُوْمُهُ قُرَيْشٌ فِى الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُوْمُهُ فِى الْجَاهِلِيَّةِ . فَلَمَّا قَدِمَ الْمَدِيْنَةَ صَامَهُ وَاَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ . فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ تَرَكَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ قَالَ : فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ


“Orang-orang Quraisy zaman Jahiliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah juga berpuasa pada hari Asyura di zaman Jahiliyah. Setelah baginda sampai ke Madinah, maka baginda berpuasa pada hari tersebut dan menyuruh orang ramai berpuasa. Maka setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan baginda meninggalkan puasa Asyura, baginda bersabda: Barangsiapa yang mahu, berpuasalah dan barangsiapa yang mahu berbuka tinggalkan puasa”. (Muttafaq ‘alaihi. Bukhari (2002) Muslim (1125))


عَنْ مُعَاوِيَةَ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : هَذَا يَوْمُ عَاشُوْرَاءَ وَلَمْ يُكْتُبِ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ ، وَاَنَا صَائِمٌ ، فَمَنْ شَاءَ فَلْيَصُمْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيُفْطِرْ


“Dari Muawiyah berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hari ini adalah hari Asyura, tidak diwajibkan bagi kamu berpuasa, tetapi saya berpuasa, maka barangsiapa yang mahu berpuasa ia boleh berpuasa dan barangsiapa yang mahu berbuka, maka ia boleh berbuka”. (Hadis Muttafaq ‘alaihi)


اَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللهِ الْمُحَرَّمُ ، وَاَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيْضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ


“Seafdal-afdal puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah yang diharamkan (Muharam). Seafdal-afdal solat selepas solat fardu ialah solat malam”. (Hadis Riwayat Muslim (1163). Nasai’i dalam Al-Kubra (2/2905,2906). Ahmad (2/303,329,342,535). Ad-Darimi (2/21). Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra (4/291). Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Musannaf (3/42). Abu Ya’la (6395). Ibnu Hibban dalam As-Sahih (2363). Dan Ibnu Khuzaimah (1134))


سُئِلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَيُّ الصَّلاَةِ اَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوْبَاتِ ؟ قَالَ : اَلصَّلاَةُ فِى جَوْفِ اللَّيْلِ . قِيْلَ ثُمَّ اَيُّ الصِّيَامِ اَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ ؟ قَالَ : شَهْرُ اللهِ الَّذِيْ تَدْعُوْنَهُ الْمُحَرَّمَ


“Telah ditanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Apakah solat yang paling utama selepas solat wajib? Baginda bersabda: Solat di jauh malam. Baginda ditanya lagi: Puasa apakah yang lebih utama selepas puasa Ramadan? Baginda bersabda: Puasa di bulan Allah yang kamu panggil Muharam”. (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

MENCONTOHI PUASA RASULULLAH


اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صِيَامِ يَوْمِ عَاشُوْرَاءَ فَقَالَ : يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَّةَ


“Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya tentang puasa Asyura, maka baginda bersabda: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyuarakan agar berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 dalam bulan Muharam. Baginda bersabda:


لَمَّا صَامَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ وَاَمَرَ بَصِيَامِهِ قَالُوْا : يَارَسُوْلَ اللهِ اَنَّهُ يَوْمَ تُعَظِّمُهُ الْيَهَوْدُ وَالنَّصَارَى ؟ قَالَ : فَاَذَا كَانَ عَامُ الْمُقْبِلِ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ . قَالَ : فَلَمْ يَاْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


“Semasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas:) Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah wafat”. (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Sebagai kesimpulannya, adalah disunnahkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 di bulan Muharam.

PENDAPAT IMAM SYAFIE

Sebenarnya berpuasa pada hari Asyura tidak boleh dianggap sebagai menyerupai Yahudi, kerana orang-orang Quraisy telah berpuasa sejak zaman jahiliyah sebagaimana hadis Nabi s.a.w.:


كَانَ يَوْمٌ عَاشُوْرَاءَ يَوْمًا تَصُوْمَهُ قُرَيْشٌ فِى الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُوْمُهُ . فَلّمَّا قَدِمَ الْمَدِيْنَةَ صَامَهُ وَاَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ


“Orang-orang Quraisy zaman jahiliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah berpuasa pada hari tersebut. Setelah baginda mendatangi Madinah, maka baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa”. (Hadis Mutaffaq ‘alaihi)

Adapun hadis di bawah ini adalah hadis lemah:

Imam Syafie rahimahullah telah menghukum sunnah berpuasa pada hari ke-9, ke-10 dan ke-11 Muharam. Imam syafie berpegang dengan hadis dari Ibnu Abbas:


صُوْمُوْا التَّاسِعَ وَالْعاَشِرَ وَلاَ تُشَبِّهُوْا بَالْيَهُوْدِ


“Berpuasalah kamu pada hari kesembilan, hari kesepuluh dan hari kesebelas (di bulan Muharam), janganlah kamu menyerupai Yahudi”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi)


صُوْمُوْا يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ وَخَالِفُوْا الْيَهُوْدَ وَصُوْمُوْا قَبْلَهُ يَوْمًا اَوْبَعْدَهُ يَوْمًا


“Berpuasalah pada hari Asyura dan janganlah kamu menyerupai Yahudi, berpuasalah pada hari sebelumnya atau sehari sesudahnya”. (Hadis Riwayat Ahmad (1/241)). Dua hadis ini terdapat dalam kitab Al-Umm dan juga dalam kitab Al-Jami’us as-Saghir oleh Imam as-Suyuti. Namun, Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah telah melemahkan (mendhaifkan) kedudukan hadis ini. Oleh yang demikian maka tidak wajarlah beramal dengan dua hadis ini.

Maka, yang sunnahnya adalah berpuasa pada hari ke-9 dan 10 Muharam atau 9 muharam, atau 10 Muharam sahaja. Wallahu a’lam.

AMALAN-AMALAN BID’AH (YANG DIREKA CIPTA) SEMPENA BULAN MUHARAM

Menghidupkan penutup tahun Hijrah (bulan al-Qamariyah), iaitu penghujung (hari akhir) bulan Zulhijjah dengan berpuasa pada siang harinya, bersolat khusus, membaca surah Yasin beramai-ramai (kebiasaannya khatam dua kali), berzikir serta membaca doa-doa khusus beramai-ramai pada sebelah petang atau malamnya, ini semua adalah perbuatan bid’ah (amalan berbentuk agama yang direka cipta) yang sama sekali tidak pernah diamalkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tidak pernah ada perintah dari baginda malah tidak ada asal usulnya dari syara’.

Begitu juga mengerjakan puasa khusus, mandi yang menyerupai mandi hadas, bersuci, bersolat khusus, mengadakan majlis membaca surah Yasin, berzikir beramai-ramai, berdoa dengan doa-doa khusus dan memberi kelepasan (seperti berhari raya) untuk keluarga pada siang atau malamnya, yang mana ini semua dilakukan semata-mata menyambut sempena pangkal tahun (awal tahun) Hijrah (1hb. Muharam). Maka semuanya itu adalah perbuatan yang menyalahi sunnah (bid’ah) kerana tidak pernah dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat, para tabi’in, para tabi’ut at-tabi’in serta para Salaf as-Soleh (generasi awal Islam).

Adapun hadis yang dijadikan hujjah oleh pembuat bid’ah dan ditambah pengertiannya mengikut hawa nafsu mereka, maka semua hadis-hadis tersebut merupakan hadis-hadis lemah, palsu atau hadis-hadis mungkar belaka. Antara hadis-hadis tersebut:


عَنِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ صَامَ اَخِرَ يَوْمٍ مِنْ ذِى الْحِجَّةِ وَاَوَّلَ يَوْمٍ مِنَ الْمُحَرَّمِ فَقَدْ خَتَمَ السَّنَةَ الْمَاضِيَّةَ وَافْتَتَحَ السَّنَةَ الْمُسْتَقْبِلَةَ بِصَوْمٍ جَعَلَهُ اللهُ كَفَّارَةَ خَمْسِيْنَ سَنَةً


“Dari Ibn Abbas berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Barangsiapa berpuasa pada hari akhir bulan Zulhijjah dan hari pertama di bulan Muharam, maka sesungguhnya dia telah menghabiskan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya sebagai penghapus dosanya lima puluh tahun”. (Hadis palsu). (Lihat: Al-Maudhu’at. Oleh Ibnul Jauzi. Berkata Ibnul Jauzi bahawa hadis ini palsu (maudhu’))

AMALAN-AMALAN BID’AH DI HARI ASYURA (Hari Ke-10 Bulan Muharam)

Terdapat juga umat Islam yang menghidupkan malam Asyura dengan bersolat, berzikir dan doa-doa yang khusus. Perbuatan ini adalah berpandukan hadis palsu sebagimana hadis di bawah ini:


مَنْ اَحْيَى لَيْلَةَ عَاشُوْرَاءَ ، فَكَاَنَّمَا عَبَدَ اللهَ تَعَالَى بِمِثْلِ عِبَادَةِ اَهْلِ السَّمَوَاتِ. وَمَنْ صَلَّى اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ يَقْرَاُ فِى كَلِّ رَكْعَةٍ اَلْحَمْدُ للهِ مَرَّةً ، وَخَمْسِيْنَ مَرَّةً قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ ، غَفَرَ اللهُ لَهُ ذُنُوْبَ خَمْسِيْنَ عَامًا مَاضٍ وَخَمْسِيْنَ عَامًا مُسْتَقْبِلٍ ، وَبُنِيَ لَهُ فِى الْمَثَلِ اْلاَعْلَى اَلْفُ اَلْفِ مِنْبَرٍ مِنْ نُوْرٍ


“Barangsiapa menghidupkan malam Asyura, maka seakan-akan ia beribadah kepada Allah seperti ibadahnya para penghuni segala langit. Dan barangsiapa bersolat empat rakaat, pada setiap rakaat ia membaca Fatihah sekali, surah al-Ikhlas lima puluh kali, maka Allah mengampuni dosa-dosanya lima puluh tahun yang telah lalu dan lima puluh tahun yang akan datang, dan dibina untuknya di Al-Mathalul-A’la (syurga) sebanyak lima juta mimbar dari cahaya”. (Hadis palsu). (Lihat: Al-Maudhu’at. 11/122)

Adalah suatu amalan bid’ah bagi sesiapa yang berpuasa sejak awal Muharam sehingga kesembilan hari bulan Muharam. Mereka yang mengamalkan puasa ini adalah berpegang dengan hadis palsu:


مَنْ صَامَ تِسْعَةَ اَيَّامٍ مِنْ اَوَّلِ الْمُحَرَّمِ ، بَنَى اللهُ لَهُ قُبَّةً فِى الْهَوَاءِ مِيْلاً فِى مِيْلٍ لَهَا اَرْبَعَةُ اَبْوَابٍ


“Barangsiapa berpuasa sembilan hari sejak awal Muharam, maka Allah akan membina untuknya sebuah kubah di udara, luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu”. (Hadis palsu). (Hadis Palsu. Lihat: Al-Fawaid. Hlm. 96)

Umat Islam yang merayakan hari Asyura, mendahulukan hari tersebut dengan bersuci, mandi dan bercelak. Hakikatnya mereka tidak menyedari bahawa hadis yang mereka gunakan adalah hadis palsu:


مَنِ اغْتَسَلَ وَتَطَهَّرَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ لَمْ يَمْرَضْ فِى سَنَتِهِ اِلاَّمَرَضَ الْمَوْتِ


“Barangsiapa mandi dan bersuci pada hari Asyura, maka dia tidak akan sakit pada sepanjang tahun itu, kecuali sakit mati”. (Hadis palsu). (Lihat: Majmu’ Fatawa. 11/248. Ibn Taimiyah. Lihat: Tamamul Minnah. Hlm. 410-412. Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani. Al-Ibda’. Hlm. 269. Ali Mahfuz)


مَنِ اكْتَحَلَ بِاْلاُثْمُدِ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ لَمْ يَرْمِدْ اَبَدًا


“Barangsiapa bercelak mata dengan arang celak dihari Asyura, maka ia tidak akan sakit mata buat selama-lamanya”. (Hadis palsu). (Dinyatakan palsu oleh Ibnul-Jauzi dalam Al-Maudhu’at 11/203. Lihat: Majmu’ Fatawa 11/248. Ibn Taimiyah)

Selepas mandi dan bersuci dipagi Asyura, terdapat juga umat Islam yang menjadikan hari Asyura sebagai hari raya kaum Muslimin dengan menjadikannya hari kelepasan dan menyediakan makanan tertentu, (antaranya menyediakan bubur Asyura. (Menasabkan bubur Asyura kepada perbuatan Nabi Nuh ‘alaihi salam adalah suatu pembohongan yang keterlaluan. Setelah selamat dari taufan dan banjir besar, Nabi Nuh tidak pernah menyuruh pengikutnya memakai celak dan menyediakan makanan berupa bubur Asyura yang dikutip dari sisa-sisa bijirin) Pent). Ini merupakan talbis (perangkap) syaitan kepada orang-orang awam sedangkan perbuatan tersebut menyerupai perbuatan orang-orang Yahudi di Khaibar. (Lihat: Al-Ibda’. Hlm. 269. Ali Mahfuz) Perkara ini telah diterangkan dalam hadis Muslim:


كَانَ اَهْلُ خَيْبَرَ يَصُوْمُوْنَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ ، وَيَتَّخِذُوْنَهُ عِيْدًا وَيُلْبِسُوْنَ نِسَاءَ هُمْ فِيْهِ حُلِيَّهُمْ وَشَارَتُهُمْ


“Adalah penduduk Khaibar (Kaum Yahudi) berpuasa pada hari Asyura, mereka menjadikannya sebagai Hari Raya dan mereka memakaikan wanita-wanita mereka dengan perhiasan dan pakaian mereka yang cantik-cantik”. (Hadis Riwayat Muslim)

Berpuasa dihari Asyura adalah amalan sunnah, tetapi menambahnya dengan menjadikannya sebagai Hari Raya adalah perbuatan bid’ah kerana menyerupai amalan Yahudi sebagaimana dijelaskan oleh hadis sahih di atas.

Terdapat juga umat Islam yang mengerjakan solat tertentu disiang hari Asyura atau dimalam harinya. Mereka melakukan perkara bid’ah ini lantaran berpandukan kepada hadis palsu sebagaimana di bawah ini:


مَنْ صَلَّى فِيْهِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ ، يَقْرَاُ فِى كُلِّ رَكْعَةٍ اَلْحَمْدُللهِ مَرَّةً ، وَقُلْ هَوَ اللهُ اَحَدٌ اِحْدَى وَخَمْسِيْنَ مَرَّةً غَفَرَ اللهُ لَهُ ذُنُوْبَ خَمْسِيْنَ عَامًا


“Barangsiapa bersolat padanya empat rakaat, membaca al-Fatiha sekali pada tiap-tiap rakaat, surah al-Ikhlas lima puluh kali, maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun”. (Hadis palsu. Lihat: Al-Ibda’ fi Madaril Ibtida’. Asy-Syeikh Ali Mahfuz)


فِى يَوْمِ عَاشُوْرَاءَ تَابَ اللهُ عَلَى آدَمَ ، وَعَلَى اَهْلِ مَدِيْنَةِ يُوْنُسَ ، وَفِيْهِ وُلِدَ اِبْرَاهِيْمُ ، وَفِيْهِ وُلِدَ عِيْسَى بْنُ مَرْيَمَ ، وَفِيْهِ فُرَّقَ الْبَحْرُ لِمُوْسَى وَبَنِيْ اِسْرَائِيْلَ وَجَرَتْ السَّفِيْنَةُ وَآخِرُ ذَلِكَ يَوْمُ الْعَاشُوْرِ لِعَشْرِ مَضَيْنِ مِنَ الْمُحَرَّمِ وَسْتَوَتْ عَلَى الْجُوْدِيِّ فَصَامَ نُوْحٌ وَاَصْحَابُهُ وَالْوَحْشُ مَعَهُ شُكْرًا للهِ عِزَّ وَجَلَّ


“Pada hari Asyura Allah menerima Taubat Adam dan taubat penduduk kota Nabi Yunus. Pada hari Asyura dilahirkan Ibrahim dan padanya pula dilahirkan Isa bin Maryam. Pada hari Asyura Lautan Merah dibelah untuk Nabi Musa dan Bani Israil dan kapal Nabi Nuh belayar dan berakhir pada sepuluh Muharam. Dan dia berlabuh di atas bukit Judi. Nabi Nuh dan para sahabatnya dan binatang-binatang liar lalu berpuasa kerana bersyukur kepada Allah Azza wa-Jalla. Demikian juga binatang-binatang yang ada bersama-sama di atas bahtera itu turut sama berpuasa”. (Hadis palsu). (Lihat: Tanzihus as-Syariah. 11/150)

Berkata Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyyah lagi:

“Tidak terdapat sebarang hadis sahih dari Nabi s.a.w. atau sahabat-sahabat. Tiada Imam mazhab tau Tabi'en yang mensunnahkan perkara-perkara ini; sama ada ia diriwayatkan oleh hadis dhaif (lemah), atau riwayat yg sahih, Al-Sunan atau Al-Musnad. Tiada hadis yang masyhur diketahui mengenainya pada abad yang awal, tetapi pada akhir-akhir ini ada hadis yang meriwayatkan seperti :{barangsiapa yang memakai celak pada matanya pada hari Asyura tidak akan mendapat penyakit mata pada tahun itu, dan barangsiapa yang mandi pada hari Asyura tidak akan dapat penyakit pada tahun tersebut.dsb}. Terdapat juga riwayat yang menunjukkan bersolat pada hari Asyura, dan ada riwayat lain yang menyebut bahawa pada hari Asyura Nabi Adam bertaubat, Bahtera Nuh mendarat di Bukit Joodi, nabi Yusuf kembali kepada Nabi Yaakub, Ibrahim diselamatkan dari api, kibas di ganti sebagai binatang sembelihan menggantikan Nabi Ismail, dan sebagainya. Mereka juga meriwayatkan sebuah hadis palsu yang mendustakan Rasulullah s.a.w. berkata: {barangsiapa yang bermurah hati kepada keluarganya pada hari Assyuura, Allah akan bermurah hati kepadanya sepanjang tahun}".

Bagi perkara lain, seperti memasak makanan khas dengan atau tanpa bijirin, atau memakai baju baru, membelanjakan wang untuk keluarga, atau membeli bekalan tahunan untuk hari tersebut, melakukan solat-solat tertentu atau amalan-amalan tertentu, menyembelih binatang pada hari itu, menyimpan daging yang akan dimasak bersama bijirin, atau memakai celak atau henna, mandi, berjabat tangan diantara satu sama lain, menziarahi seseorang, menziarahi masjid dan kubur-kubur (mashhad) dan sebagainya..... kesemua ini adalah bid’ah dan salah. Tiada diantaranya yang ada kena mengena dengan sunnah Rasulullah s.a.w. atau Khulafah al-Rasyidiin. Ia tidak diluluskan oleh mana-mana imam, tidak malik, tidak at-Tsauri, tidak al-Layth ibn Sa’d, tidak Abu Hanifah, tidak al-Auzaa’i, tidak asy-Syafie, tidak Ahmad ibn Hanbal, tidak Ishaaq ibn Rahawayh, dan tiada mana-mana dikalangan Imam dan ulama' Islam......” (Ringkasan dari Fatawa Al-Kubra oleh Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyyah Jil. 5)

PERSOALAN DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN

Dalam hal ini, iaitu membaca doa akhir tahun dan awal tahun, di sana tidak terdapat sebarang hadis yang tsabit/sahih/diterima yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas, sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian kelompok daripada umat Islam.

Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

As-Sheikh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda' fi Madhar al-Ibtida' menyebut bahawa kebanyakan hadis maudhu' yang berkaitan dengan amalan pada bulan Muharam khususnya pada hari Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh Husain (kaum Syi’ah).

Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-'Izz al-Hanafi: “Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi s.a.w. sebarang amalan pun pada hari Asyura selain puasa Baginda.

Ada pun golongan Rafidhah melakukan bid’ah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan Husain pada hari ini.

Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunnah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan daripada biji-bijian/bijirin (bubur) dan memakai celak, dan mereka meriwayatkan hadis-hadis maudhu' tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga.''

(Sheikh Ali Mahfuz, al-Ibda' fi Madhar al-Ibtida' (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001), hal. 271)

Sebagai kesimpulan, tiada doa-doa yang khusus yang dicontohkan melalui hadis yang sahih bahawa Nabi s.a.w. mengajarkannya kepada kita bagi tanggal awal tahun dan akhir tahun sempena menjelangnya Muharam.

Kepada pihak tertentu yang tetap mempertahankan kebatilan, jika benar ada doa-doa khusus di waktu awal/akhir tahun, silakan mengutarakan dalilnya, sumbernya, takhrij & sanad hadisnya, siapa yang meriwayatkannya, dan siapa ulama hadis yang mensahihkannya. Wallahu a’lam...

AMALAN/BENTUK IDABAH YANG TIADA HUJJAH/DALIL ADALAH BID’AH

Ingatlah! Tidak pernah ditemui hadis-hadis sahih yang membolehkan mengadakan apapun upacara majlis sempena menyambut awal tahun. Begitu juga tidak pernah diperintahkan supaya mengadakan majlis zikir atau majlis-majlis tertentu kerana mengucapkan selamat tinggal kepada tahun-tahun yang telah berlalu. Sesiapa yang melakukannya termasuk dalam golongan yang ditergur oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam sabdanya:


مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ


“Barangsiapa mengamalkan/melakukan satu amal yang bukan perintah kami, maka amal itu tertolak (bid’ah)”. (Hadis Riwayat Muslim)


مَنْ صَنَعَ اَمْرًا عَلَى غَيْرِ اَمْرِنَا فَهُوَ رَدٌّ


“Barangsiapa yang mencipta sesuatu perkara yang bukan dari perintah kami, maka ia tertolak”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)


مَنْ اَحْدَثَ فِى اَمْرِنَا هَذَا مَالَيْسَ مِنْهُ فَهُوْ رَدٌّ


“Barangsiapa yang menambah/mengadakan yang baru dalam urusan kami ini, maka tambahan yang bukan dari kami itu tertolak”. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Tertolak kerana setiap tambahan itu adalah bid’ah sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:


اِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ،
وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِى النَّارِ


“Aku peringatkan kamu sekalian tentang perkara-perkara yang baru/yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah, setiap yang bid’ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu di neraka”. (Hadis Riwayat Muslim, An-Nasai’i dan Ahmad)


@Brother Nawawi
+60126887715
YM:
nawie83@yahoo.com
____________________________________________________________________

dan aku bacer pula komen dia bawah artikel yang dibincangkan inie...

____________________________________________________________________


Salam.

Ada dua kaedah fiqh yang berbeza bagi urusan ibadat dan muamalat:

1. Urusan ibadat (solat, puasa, zakat, haji, baca quran, urusan jenazah,
etc) - Tidak boleh dilakukan melainkan dengan dalil.

2. Urusan muamalat (jual beli, makanan, minuman, pinjaman, etc) - Semuanya
harus melainkan ada dalil melarangnya.

Saya bukan ustaz, so harap ada ustaz/ustazah yg dapat betulkan jika saya
tersalah tentang hal di atas...

Berikut adalah tulisan Ustaz Lukmanulhakim, lulusan BA Syariah & MA
Syariah, Univ. Islam Madinah tentang persoalan "doa akhir tahun dan awal
tahun" untuk difahami semua...

Doa Awal dan Akhir Tahun
2008 December 26
By: Ustaz Lokmanulhakim Bin Hussain

Menjadi kelaziman sebahagian orang Islam, apabila berakhir bulan Zulhijjah
yang memberi erti bermulanya tahun baru Hijrah, mereka melakukan satu
upacara doa yang dikenali dengan 'Doa Awal dan Akhir Tahun'.

Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan
Zulhijjah. Lafaz doanya 'disunatkan' dibaca sebanyak tiga kali.

Dan dikatakan fadhilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan
berkata, "Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam
pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua". Disebut juga,
dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.

Begitulah besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir
tahun ini. Tidak hairan, ramai yang mempercayainya dengan harapan
memperoleh kelebihan itu. Sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau
pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang
ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan di'amin'kan oleh jemaah.

Jika diteliti doa awal dan akhir tahun tersebut, diakui bahawa lafaz
Arabnya sangat elok, susunan kata-katanya menarik, dan maksud kandungan doa
juga tidak bersalahan dengan mana-mana prinsip syarak.

Tetapi, oleh kerana doa ini ditetapkan lafaz bacaannya, bilakah waktu
dibaca, berapa kali bacaannya diulangi, dan apakah fadhilatnya, maka
upacara membaca doa ini adalah termasuk dalam bidaah. Kerana bacaan doa ini
dan fadhilatnya tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kitab hadis
muktabar, tidak pernah dinukilkan amalannya di kalangan para sahabat,
tabien dan para salaf, dan tidak disebut pun oleh imam-imam yang masyhur.

Sedangkan kita tahu doa adalah ibadah. Dan dimaklumi bahawa ibadah bersifat
tauqifiyyah iaitu mesti diambil asal dan kaifiatnya daripada syarak.
Tetapi, dalam persoalan doa awal dan akhir tahun ini, tidak didapati
sebarang asas pun daripada nas-nas syarak.

Syeikh Bakr Abu Zaid -rahimahullah- menyebut satu kaedah dalam amalan doa,
iaitu:

"Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa
dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu
sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa.

Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara yang
disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan
yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia
suatu yang masyruk". (Tashih Ad-Dua: 44)

Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, "Sikit-sikit
bidaah, apa salahnya berdoa?".

Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang
sesuai. Termasuklah berdoa pada tarikh 29 Zulhijjah. Yang salahnya ialah
menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada nas syarak. Ditambah pula
dengan fadhilat palsu tentang kata-kata syaitan begitu dan begini, dan
jaminan pengampunan dosa selama setahun. Siapakah yang telah memberikan
jaminan tersebut sedangkan tiada nas menyebutnya? Ini semua perkara ghaib
yang mesti diambil daripada nas-nas sahih.

Ada juga mengatakan, "Perkara kecil seperti ini pun hendak
diperbesar-besarkan?".

Jawapan kepada persoalan ini ialah kata-kata Imam al-Barbahari:

"Dan awaslah kamu daripada perkara-perkara kecil yang diada-adakan, kerana
bidaah-bidaah kecil akan berulang hingga ia menjadi besar".


Ibn Taimiyyah pula mengatakan:

"Bidaah-bidaah pada permulaannya hanya sejengkal. Kemudian ia bercambah di
kalangan pengikut-pengikut, hingga menjadi beberapa hasta, beberapa batu
dan beberapa farsakh". (Satu farsakh bersamaan 3 batu).

Oleh itu, janganlah dipandang mudah terhadap perkara-perkara kecil yang
menyalahi syariat, apatah lagi termasuk dalam bidaah dalam hal ibadah. Dan
setiap amalan ibadah yang dilakukan, sedangkan ia bukan daripada agama,
maka amalan itu ditolak oleh syarak.

Wallahu A'lam.

About the Author:

Ustaz Lokmanulhakim Bin Hussain dilahirkan pada tahun 1979 di Kampung
Geliga, Kemaman, Terengganu.

Mendapat pendidikan awal islam di Sekolah Kebangsaan Kuala Kemaman,
Terengganu dan Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala
Terengganu.

Beliau seterusnya memperolehi B.A (Syariah) dan seterusnya M.A (Syariah)
dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Beliau dikurniakan dengan dua cahayamata (Insyirah dan Umair) hasil
perkongsian hidup dengan isterinya, Ummu Insyirah, seorang lulusan B.A of
Landscape Architecture, UIAM.

____________________________________________________________________

Dan satu pendapat lain pula...

____________________________________________________________________
Terima kasih kekawan yang respon tulisan saya. Dalam tulisan saya kan saya dah katakan Allah suka kepada manusia yg banyak berdoa. Nabi pun suruh banyakkan berdoa. Maka insan yang bertaqwa akan sentiasa penuhkan masanya berdoa!

Persoalan sekarang kenapa doa pada awal tahun dan akhir tahun (khusus) dikatakan bidaah? Berdoakan benda baik suruhan Allah dan saranan rasul. Tak kira lah bila kita nak berdoa. Ada manusia sentiasa berdoa....ada pula berdoa ketika susah atau sakit. Adakah kalau kita hanya berdoa ketika ditimpa kesusahan dikira bidaah sebab nabi berdoa tak kira masa senang atau masa susah?

Atau adakah kita berdoa pada saat2 anak nak ambil SPM di kira bidaah sebab Nabi tak berdoa untuk SPM pun?

Memang betul kita tak perlu tunggu awal atau akhir tahun untuk berdoa. Tapi ada orang semacam lupa atau sibuk untuk berdoa...lepas sembahyang terus bangkit tanpa berdoa. Pada awal tahun kita adakan program, maka sidia yang sibuk tadi luangkan masa untuk berdoa pada awal tahun...adakah salah ?

Saya bukan arif sangat agama, tapi pada pendapat saya yg dikategorikan bidaah perkara yang merosakkan agama....misalnya adakan pesta pantai sempena bulan safar dan doa tolak bala kerana anggapan bulan safar pembawa sial..sedangkan tiada ajaran mengatakan bulan safar adalah sial.

Atau pun upacara lenggang perut bg ibu mengandung anak sulung kononnya jika tak buat anak jadi cacat atau ditimpa bala.

Masalah sekarang terlalu mudah kita jatuhkan hukum bidaah pada perkara yang harus. Contohnya baca yasin malam jumaat ada yg kata bidaah dan haram. kenapa jadi begitu? saya nak baca malam jumaat ke, anda nak baca malam isnin ke, sipolan nak baca malam apa ke apa salahnya? Kebiasaan di masjid kita di Malaysia kita adakan bacaan Yasin malam jumaat semperna malam penghulu segala hari. Malam2 lain kalau anda nak baca silakan tetapi di masjid selalunya malam2 lain ada kuliah maghrib. Itu cuma soal penjadualan saja..kalu tak macam mana? Malam jumaat imam nak baca yasin, siak nak adakan majlis tahlil, bilal nak adakan ceramah ugama, simamat pula nak bersembang diberanda. Bukankah elok malam jumaat kita penuhi dengan bacaan yasin beramai-ramai dengan harapan diberkati Allah keatas usaha kita.

Ada yang kata berdoa itu ibadah bukan muammalah. Maka sebab ibadah kita kena ikut nabi. Soalnya adakah muammalah ikut suka kita? Pandangan saya muammalah juga termasuk dalam ibadah. Apa yg kita lakukan yg tidak bertentangan dengan ugama, malah mendatangkan kebaikan di kira ibadah la...termasuk muammalah..malah makan dan minum pun ibadah. Jangan terpengaruh dengan aliran yg memisahkan ibadah dari kehidupan seharian. Muammalah...ibadah, politik...ibadah, sukan...ibadah, belajar...ibadah malah melancong pun ibadah...bukannya politik suku ibadah suku. Wallahuaklam!

___________________________________________________________________

Dijawab pula oleh yang ini..

____________________________________________________________________

Saudara Mat Yusof,

Saya cadangkan awak baca dan fahamkan dulu, apa maksud Ibadah, Muamalah dan Bida'ah.
Amalan dalam agama Islam bukannya ikut selera kita, apa yang kita rasa baik.
Mungkin apa yang kita rasa baik itu sebenarnya tidak baik pada pandangan Allah.

Dalam Islam, Ibadah adalah dilarang kecuali adanya PERINTAH dari Allah SWT dan Rasul saw.
Dalam muamalah (kehidupan), semua perkara adalah harus kecuali adanya LARANGAN dari Allah SWT dan RasulNYA.

Bacaan Yaasin misalnya, memang tidak salah untuk membacanya. Tetapi yang bermasalahnya apabila kita mengkhususkan hanya pada malam Jumaat, secara beramai-ramai dengan bacaan yang serentak. Kita dok baca setiap malam Jumaat sedangkan ada saranan Rasul saw di dalam Hadithnya untuk membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat. Tidakkah kita meninggalkan saranan Baginda dan membuat sesuatu yang tidak disarankan. Tidakkah itu juga merosakkan agama?

Kalau ibubapa kita suruh buat sesuatu, tetapi kita buat bende lain, amacam??

____________________________________________________________________

Ada lagi yg menjawab....

____________________________________________________________________

Assalamualaikum warahmatullah.

ok satu satu. (saya bukan ahli agama, jadi jawapan saya tidak ada nas tertulis, ni sebelum jawapan yang mantap dari para utz,utzh.)

1. doa akhir tahun ni jelas rasulullah tak pernah buat. (cara dan masa yang khusus sewaktu doa ni dilakukan tak pernah rasulullah buat) berbeza dengan doa untuk lulus spm, kerana doa untuk kejayaan sentiasa rasulullah dan para sahabat buat. kita juga boleh bandingkan doa di multazam, atau doa masuk masjid yang sentiasa rasulullah buat. begitu juga doa doa maksur, ketika haji, (ada cara dan masa dan tempat)

2. doa sewaktu sujud dalam sembahyang adalah terbaik. (jadi jangan buruk sangka pada orang yang terus bangun dari solat tanpa doa... (anyway solat sunat yang dituntut lebih baik dari doa yang dibuat lepas solat fardhu jika kita hanya mampu buat salah satu) jadi sepatutnya kita galakan orang sentiasa berdoa dalam semua keadaaan yang mengizinkan.. bukan kita suruh orang utamakan doa doa tertentu yang rasulullah tak buat pun.

3. bidaah yang mesti dihindari dalam fiqh adalah "pembaharuan dalam hal ibadah" kalau dalam hal mualamalah semua pembaharuan adalah harus kecuali yang telah diharamkan.

4. yasin malam jumaat juga rasulullah dan para sahabat tak pernah buat. yang ada pada hari jumaat merema membaca surah al-kahfi.. (kenapa tak mahu ikut?) bila dah biasa buat, bertahun, berzaman,,orang akan anggap ianya "upacara" agama... bukan kah itu "merosakkan" (saya merujuk yasinan yang beramai ramai.. siap dengan tekong) kalau nak baca sorang sorang dan bukan amalan yang tetap..(baca juga surah surah lain, atau baca juga yasin pada masa lain - tak menjadi masalah)
yang penting: kenapa tak baca quran setiap hari?

5. doa tu ibadah.. ini adalah apa yang dilaksanakan oleh rasululah dan para sahabat. ulam juga sepakat mengatakan doa itu adalah ibadah (lagi pun doa tu kita minta pada Allah kan.. jadi pastikan cara dan kaedah tu seperti yang Allah kehendaki)

6. berniaga, berpakaian, bercakap dengan orang adalah muamalah (menghubungkan kita denga manusia) semuanya harus.. kecuali yang haram.. (harus kita bercakap dengan wanita bukan muhrim.. tapi haram bercakap denganya berdua dua je ditempat yang tersembunyi) harus berniaga macam mana pun tapi haram menipu, melibatkan interest. dan juga cara perniagaan yang telah diharamkan.

7. agama tidak mengikut pertimbangan manusia, tapi ianya mengikut apa yang Allah kehendaki dan apa yang telah Allah sampaikan melalui rasulnya. jadi nak selamat dalam agama mestilah kita ikut apa yang rasululah dan para sahabat but. ulama juga telah mengkaji ugama dengan teliti dan menimbulkan hukum hukum dan kaedah yang dulunya tak ada (tetapi dengan bersandarkan kepada Alquran dan hadith) untuk umat islam

8. jangan lupa BELAJAR dan AMAL kan islam ni.

9. tulisan saya bukan untuk diperdebatkan.. jika nak debat biarlah kedua duanya ahli agama jadi mereka boleh turunkan semua nas, dan alasan dalam semua pendapat mereka

10. ikhlaslah dan cari lah keredhaan Allah

salah dan silap saya mohon keampunan dari Allah.
_____________________________________________________________________________________

Begitulah al-kesahnyerrr... so.. korang dah bacer... korang nilai lar sendiri... bab agama nie aku tak pandai... nak lagi pasti... rujuk ustaz dan mereka yang bertauliah.. okehhh!!

No comments:


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails