.:KeNaLaN MaYA BoNDa:.

JoM TuKa LiNk di SINIE

Thursday, November 16, 2006

.:kreativiti, imaginasi anak terhad akibat ditakutkan:.

Oleh Hafizah Iszahanid


“Adik jangan masuk bilik tu gelap, takut... eii... ada hantu,”

Ungkapan remeh itu asalnya bertujuan menghalang anak degil atau memudahkan tugas keibubapaan, sebaliknya memiliki kesan psikologi yang tidak remeh pada anak.

Ia bukan saja membuat mereka sentiasa takut pada gelap dan hantu tetapi membuat mereka lambat ‘pulih’ dari imaginasi hantu atau momok. Malah mengehadkan kreativiti dan imaginasi.

Pakar Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Kampung Baru, Dr Noor Aziah Mohd Saari, berkata sikap ibu bapa sangat penting dalam membentuk personaliti anak. Pendidikan yang berbentuk ancaman dan menakut-nakutkan anak dengan hantu atau momok akan membuatkan mereka gentar mencuba sesuatu.

“Perasaan takut itu boleh terbawa-bawa hingga dewasa dan membuat mereka menjadi kurang yakin untuk mencuba pengalaman baru,” katanya.

Tidak dinafikan, perasaan takut adalah fitrah semula jadi manusia. Ia bersifat mempertahankan diri (self defence) dalam situasi yang dianggap bahaya atau mengancam keselamatan.

Sifat ini berkembang pada usia enam hingga sembilan bulan. Awalnya, bayi akan tersenyum dan suka semua orang yang mendekati dan membelainya.

Hinggalah ketika usia mencecah enam bulan, bayi sudah mula menyedari perbezaan antara mama dan ayah dengan orang lain di sekelilingnya.

Apabila usia meningkat, perasaan takut itu berkembang mengikut imaginasi dan juga persekitaran. Jika dia kerap ditakutkan dengan hantu, dia akan terasa hantu itu sebahagian dari hidupnya.

“Perasaan takut bagaimanapun, akan hilang dengan sendirinya ketika kanak-kanak berusia dua tahun. Jika dia ber usia setahun tetapi tidak takut pada orang asing misalnya, itu mungkin petanda perkembangannya terlewat ke rana pada usia ini dia sepatutnya ada rasa ‘stranger anxiety’,” kata Dr Noor Aziah.

Apabila kanak-kanak berusia dua tahun, sepatutnya, dia sudah mula ada keyakinan diri. Dia kurang takut pada persekitaran dan orang asing.

Bagaimanapun, bagi sesetengah kanak-kanak ketakutan itu akan beransur-ansur hilang pada usia antara tiga hingga lima tahun.

Kanak-kanak memiliki personaliti sendiri sejak hari pertama mereka dilahirkan.

Justeru, kematangan sosial yang bergantung kepada personaliti anak bukanlah bahan ukuran kepandaian atau IQ keseluruhan tetapi hanya sebahagian daripada sudut IQ saja. Sebabnya mungkin personaliti anak itu sendiri yang pendiam, pemalu dan peramah membentuk sikapnya.

Secara umum, kebanyakan kanak-kanak akan menunjukkan tindak balas sedikit sebanyak yang menunjukkan dia tidak selesa dengan orang asing.

“Kanak-kanak yang dididik di pusat jagaan misalnya, punyai persekitaran yang mendedahkannya untuk belajar bergaul lebih awal. Dengan kematangan sosialnya mungkin lebih cepat berbanding kanak-kanak yang dididik di rumah oleh ibu.

Begitupun, jika si ibu kerap membawanya bersiar-siar, bersantai dan bertemu ramai orang, anak itu juga akan memiliki persekitaran sosial yang baik,” katanya.

Ketakutan yang tidak terkawal boleh bertukar kepada fobia jika ia terlalu ekstrem. Fobia mungkin disebabkan anak itu mengalami trauma atau pengalaman pahit terhadap sesuatu perkara hingga dia tidak boleh bertoleransi terhadapnya.

Misalnya, mungkin dia pernah berhadapan kebakaran rumah atau digigit serangga hingga terasa sangat sakit.

Fobia tidak normal. Ia mesti diatasi tetapi bukan hanya membabitkan kanak-kanak itu saja tetapi ibu bapa dan pakar psikologi.

Apa yang ditakuti kanak-kanak?

a) Hantu dan persekitaran gelap

Takut pada gelap dan hantu bergantung pada imaginasi dan realiti. Jika sebagai ibu, kita mendidiknya ‘jangan takut gelap ia disebabkan tiada lampu, bukan ada hantu’ kanak-kanak tidak akan takut. Pada usia enam hingga sembilan bulan, perasaan takut sudah wujud dalam diri.

Tetapi ketika mencecah usia dua hingga tiga tahun, kanak-kanak lebih berkeyakinan.

b) Orang asing

Disebabkan jarang bertemu mereka atau tidak pernah bertemu. Ada kanak-kanak mengambil masa untuk mesra dengan orang baru. Pada usia dua tahun, kanak-kanak lelaki akan lebih selesa dengan rakan sejantinanya begitu juga kanak-kanak perempuan. Kadangkala rasa tidak selesa dengan jantina lain akan ‘pulih’ apabila usia masuk akil baligh.

c) Doktor

Ada doktor kurang peka ketika merawat anak. Layan anak dengan baik seperti orang dewasa. Mungkin bunyinya agak aneh dan remeh, misalnya perlu minta izin untuk membuka baju dan lampin mereka. Tetapi hak mereka perlu juga dihormati. Contohnya, kata-kata lembut, ‘doktor buka baju ya, doktor nak periksa, abang sakit ni,’ mungkin boleh membantu.

Ibu bapa juga jangan takutkan anak-anak dengan doktor misalnya berkata, ‘ha... jangan menangis nanti mama suruh doktor cucuk dengan jarum besar,’kerana ia akan menyukarkan komunikasi dengan kanak-kanak itu.

Jenis ketakutan yang mungkin dialami anak

a) Kekacauan kebimbangan keterlaluan

Keadaan ini sangat jarang berlaku tetapi kerap berkait rapat dengan pengalaman buruk yang pernah dialami nya. Kanak-kanak secara umumnya takut dengan

pelbagai perkara setiap hari, tetapi tidak termasuk di dalam kategori ini jika tidak keterlaluan.

b) Panik

Kanak-kanak yang cepat panik akan menyebabkan dada mereka sesak, nafas pendek, sakit perut dan kepala terasa pusing. Misalnya panik menghadapi peperiksaan.

c) Bimbang pada orang asing

Bayi selalunya akan berhadapan dengan ketakutan begini. Apabila mereka bertemu orang yang tidak dikenali dia tidak akan jauh dari ibu bapanya.

d) Bimbang berpisah

Pada usia 10 hingga 18 bulan, kanak-kanak mula berasa takut berpisah dengan ibu bapa. Ia mengecewakan dan menakutkan jika mereka terpaksa berpisah dengan ibu bapa atau orang yang mereka sayang. Merasa menangis, panik atau marah apabila ibu bapa cuba meninggalkannya malah mungkin kerap mengigau atau susah tidur.

e) Kekacauan tekanan post-trauma

Mereka akan merasainya selepas berhadapan dengan bencana misalnya rumah terbakar. Memori itu sangat jelas.

f) Fobia

Ia terjadi apabila mereka rasa takut yang keterlaluan pada sesuatu perkara seperti serangga, kilat atau berjumpa orang baru.

Pada sesetengah kanak-kanak ia sangat ekstrem dan sukar dikawal.

Kadang-kadang mereka membesar dengan fobia itu.



Sumber: Virtualpediatrichospital. org

No comments:


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails