KEMARAHAN adalah emosi semula jadi manusia untuk menangkis persepsi, 
ancaman atau serangan terhadap diri. Ia juga adalah sebagai refleksi 
pertahanan seseorang terhadap sesuatu prinsip yang diyakininya. 
Namun, masalah sering terjadi apabila kemarahan itu disalah urus dan 
lebih teruk sekiranya ia kekal menjadi tabiat yang dilabelkan sebagai 
ciri peribadinya.
Sikap baran boleh menjadi penyebab utama berlakunya konflik dalam kehidupan peribadi dan perhubungan profesional. 
Tidak hairanlah hari ini, kemarahan yang melampau itu sering 
dizahirkan dalam perbuatan seperti keganasan domestik, sikap buruk di 
jalan raya, konfrontasi di pejabat hinggalah kepada perlakuan yang 
menjejaskan ikatan suami isteri.
Dalam soal cinta, adakah anda seorang yang berjaya mengawal emosi? 
Bagi setiap perselisihan pendapat yang berlaku, adakah penyelesaian akan
 diiringi dengan cara mengherdik atau menengking? Mungkin lebih dahsyat,
 bagi yang tidak dapat mengawal perasaan, kemarahan itu disertai dengan 
keganasan fizikal.
Sebagai langkah menghadapi situasi seperti itu, adalah disyorkan agar
 seseorang itu meningkatkan paras kesabarannya. Selain berfikir secara 
rasional, berikan peluang untuk komunikasi dua hala berlangsung. 
Apabila seseorang sedang bercakap, seorang lagi perlu mendengar. 
Peluang untuk memberi penjelasan hendaklah diberi secara saksama. 
Berikut adalah antara tip untuk membimbing mereka yang mempunyai 
pasangan yang panas baran.
Berdiam diri
Api tidak boleh dilawan dengan api. Maka, apabila salah seorang 
sedang dalam keadaan marah, hendaklah pasangannya berdiam diri dan cuba 
mendengar butir bicara itu sebagai input penyelesaian. Setelah habis 
kemarahan itu dilepaskan, berikannya 'masa tambahan' untuk meredakan 
perasaan. Tunggu sehingga waktu yang sesuai untuk berkata-kata.
Menjauhkan diri buat seketika
Dalam tempoh yang diberikan kepada orang yang panas baran untuk 
meredakan kemarahannya, jangan cuba melakukan sesuatu yang mengganggu 
ruang privasinya.
Ini termasuklah gangguan keselesaan persekitaran dari aspek bunyi, 
ruang dan pandangan. Orang yang panas baran sentiasa akan mencari sebab 
untuk menyalahkan orang lain jika sesuatu faktor itu diterjemah sebagai 
masalah buatnya.
Berikan masa untuk reda
Orang yang panas baran lazimnya akan malu sendiri akan perbuatannya. 
Waktu yang diberikan kepadanya tanpa diganggu akan membuatkan si baran 
itu memikirkan semula apa yang telah dilakukannya. 
Sama ada kemarahan itu kerana dia di pihak yang benar ataupun tidak, 
dia akan kembali kepada pasangannya untuk sesi penyelesaian yang lebih 
terhormat.
 Memilih corak percakapan
Berhati-hati dengan pemilihan perkataan anda. Jika anda tersilap 
menuturkan sesuatu, lebih-lebih lagi ketika kemarahannya belum reda, ia 
boleh memburukkan lagi keadaan. 
Keras lawannya lembut. Maka, lenggok bahasa yang santun boleh memujuk
 hati pasangan yang baran. Meskipun berlembut, itu tidak bermakna 
prinsip dan kebenaran tidak boleh disampaikan secara efektif.
Terapi minda dan fizikal
Kaedah bertenang yang paling ringkas dan mudah adalah dengan 
mengambil nafas panjang dan dalam. Bayangan visual yang menenangkan dari
 dalam ingatan atau imaginasi juga boleh membantu meredakan rasa marah. 
Banyak buku dan majalah yang boleh membimbing seseorang yang sedang 
marah atau bagi mereka yang menghadapi orang yang sedang marah.
Bagi mereka yang mengakui memiliki tabiat pemarah, boleh mencuba 
teknik ini. Tarik nafas panjang dan bayangkan udara memenuhi diafragma. 
Kemudian lepaskannya semula dengan perlahan dan pujuk diri secara 
psikologi dengan memikirkan perkataan seperti bertenang atau anggap 
mudah.
Bagi menambah kekuatan diri dalam menghadapi situasi tegang itu, 
seseorang boleh mencuba teknik regangan seperti dalam riadah yoga 
ataupun rutin ibadah sembahyang. Dalam berdepan dengan ujian perhubungan
 itu, kita masih perlu berharap dan berdoa.

No comments:
Post a Comment