.:KeNaLaN MaYA BoNDa:.

JoM TuKa LiNk di SINIE

Friday, March 30, 2012

TeRSeNTuH HaTiKu..


Demi meneruskan kelangsungan hidup, ibu ini sanggup mengenepikan masa berpantangnya untuk mencari kerja bagi menyara keluarga. Biarpun ujian yang dilalui sangat berat tetapi ibu ini terus tabah mengharunginya.

Rutin hariannya kini sebagai pekerja di dobi Uncle Samad dimanfaatkan sepenuhnya. Norzarina Suhaimi, 30, bersyukur kerana masih ada lagi insan yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya. Jika dahulu kehidupannya umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang tetapi kini dengan sedikit pendapatan yang diperoleh sebagai pembantu kedai dobi dapat dia meringankan bebanan suami, Mohd Azman Jidin, 27, yang bekerja di sebuah kilang perabot di Subang.

Ibu tiga anak ini menceritakan bagaimana dia mengerah tenaga mencari pekerjaan walaupun ketika itu masih dalam tempoh berpantang anak ketiganya. Usahanya bertanyakan kepada pemilik dobi telah membuka pintu rezeki buatnya.

Kasihan melihat kesempitan hidup keluarga ini, pemiliknya bukan sahaja menawarkan pekerjaan malah menyewakan sebuah bilik kecil untuk dihuni oleh keluarga ini dengan kadar sewa RM100 sebulan. Sebelum ini Norzarina dan suami menyewa rumah mahupun bilik yang ada di Pangsapuri Resak berdekatan UiTM, Puncak Perdana. Kesempitan hidup membuatkan pasangan ini seringkali berhadapan dengan bebanan kewangan yang menghimpit.

Di kedai dobi Uncle Samad inilah dunia mereka sekeluarga. Biarpun kecil tetapi Norzarina bersyukur kerana kehidupannya lebih baik berbanding dahulu.

“Saya bersyukur sebab waktu saya tidak bekerja, kehidupan kami amat tertekan. Mana hendak bayar sewa, hendak beli susu mahupun makan pakai untuk anak-anak. Sekarang, walaupun tinggal di dalam bilik kecil, kehidupan kami lebih baik lagi,” tutur ibu muda ini ketika ditanya tentang kediamannya itu.

Nostalgia Kelahiran Triesya
Fatin Norsyaqilla Qhairiena,7, Triesya Norsyazliana Qhairieah, 5 dan Damia Norsyamimie Qhairanie, 7 bulan masih belum mengerti apa-apa tentang kehidupan yang penuh cabaran ini.

Di bilik kecil yang memuatkan sebuah katil bujang, almari pakaian mini dan sebuah peti televisyen comel itulah mereka membesar. Namun, mereka tidak pernah merungut malah bersyukur dengan kediaman baharu yang mereka peroleh. Rutin hariannya bekerja di kedai dobi yang terletak bersebelahan dengan bilik yang disewanya memudahkan urusan pemantauan dua anak yang ditinggalkan.

Ketika si kakak sulung, Fatin yang sudah masuk ke darjah satu ke sekolah, Norzarina terpaksa meninggalkan Triesya bersama Damia. Biarpun jauh di sudut hatinya berasa risau tentang keselamatan anak-anak tetapi apakan dayanya kerana tidak mampu untuk mengupah orang menjaga mereka.

Apatah lagi anak keduanya, Triesya disahkan menghidap hydrocephales sebaik sahaja dilahirkan ke dunia. Penyakit yang dialami membuatkan Triesya hanya mampu berbaring dan memerlukan bantuan penuh daripada ibunya untuk makan, minum, memakai pakaian mahupun bergerak.

“Semasa mengandungkan Triesya, doktor memaklumkan yang anak saya ini akan lahir cacat. Waktu itu, lagi dua minggu Triesya akan dilahirkan. Tiada siapa yang mahukan anaknya lahir cacat namun ia sudah ketentuan-NYA. Walau apa pun terjadi, saya reda untuk terima hakikat ini.

“Doktor beri saya dua pilihan sama ada melahirkan secara normal atau pembedahan. Risiko normal boleh membawa kematian, akhirnya saya akur dengan bersalin secara pembedahan. Bila lahir, ada air berlebihan di dalam kepala Triesya yang membuatkan bahagian itu membesar.

Semasa berusia 27 hari, doktor melakukan pembedahan untuk memasukkan alat yang boleh mengawal air di dalam kepalanya.

“Selepas empat hari, Triesya dibenarkan pulang. Tetapi dia demam panas selama seminggu. Apabila dirujuk ke hospital, rupanya alat tersebut terkena jangkitan kuman. Sekali lagi, kepala Triesya perlu dibedah.

Setiap hari kepala Triesya akan membesar sebanyak 1cm. Oleh itu doktor perlu menebuk kedua-dua belah kepalanya untuk membuang air berlebihan itu. Bulan seterusnya, doktor belah sebelah kiri, bulan seterusnya, sebelah kanan pula.

“Ketika itu tubuh Triesya semakin menyusut sehingga tinggal tulang sahaja. Semasa usianya lima bulan, doktor mahu melakukan pembedahan sekali lagi tapi tubuh Triesya sudah tidak mampu untuk menerimanya.

Akhirnya saya berbincang dengan suami untuk bawa Triesya pulang. Saya reda dengan apa juga kemungkinan yang akan terjadi. Kata doktor, kalau Triesya balik dia hanya mampu hidup dalam tempoh sebulan tanpa bekalan ubat.

Saya sudah tidak mampu melihat pembedahan demi pembedahan ke atas tubuh kecil Triesya. Saya nekad dan menandatangani surat yang dihulurkan oleh doktor dengan seribu satu pertanyaan yang bersarang di dalam hati,” luah Norzarina sayu.

Tiada Kenderaan Ke Hospital
Namun demikian doktor hanyalah manusia yang mampu merancang tetapi Allah SWT juga yang menentukan segalanya. Nyawa Triesya yang diramalkan mampu bertahan sebulan sahaja selepas lahir terus dipanjangkan usianya sehingga kini oleh Yang Maha Kuasa.

Walaupun demikian, si ibu tetap berasa bimbang dengan masa depan anak keduanya itu. Pengalaman menjaga Triesya selama enam bulan di hospital menjadi panduan berguna buat Norzarina sehingga ke hari ini.

Anak keduanya sangat sensitif dan mudah dijangkiti demam atau batuk. Bahkan jangkitan tersebut akan menyebabkan Triesya mengalami kekejangan otot. Oleh itu dia perlu dijaga dengan teliti dan rapi.

Selain dari itu, masalah tiada kenderaan untuk membawa Triesya ke klinik mahu pun hospital turut membuatkan mereka bimbang jika Triesya sakit.

“Kenderaan kami cuma motosikal sahaja. Kalau Triesya demam sukar hendak membawanya ke klinik atau pun hospital. Kalau ikutkan sebenarnya Triesya perlu melakukan rawatan fisioterapi di hospital dan rawatan susulan lain tetapi saya sudah lama tidak membawanya kerana tiada kenderaan. Saya dan suami perlu bekerja.

Syukurlah Triesya jarang diserang sakit cuma kebelakangan ini air liurnya kerap meleleh. Dia sudah tidak berupaya untuk menelan. Triesya tidak boleh mengeluarkan kahaknya sendiri malah tubuh sebelah kirinya kurang aktif berbanding sebelah kanan,” ujarnya sayu.

Bantulah Triesya Melihat Dunia Luar
Pemakanan anak yang tidak sihat seperti Triesya bukan seperti kanak-kanak normal lain. Triesya hanya boleh makan makanan yang lembut sahaja. Makanan rujinya adalah bijirin dan dia memerlukan sehingga lapan tin bijirin setiap bulan. Sebelum ini Norzarina membelikan susu khas untuk usia anaknya tetapi sejak menimang anak ketiga sumber kewangannya terpaksa diagihkan.

Kesempitan hidup itu memaksa Triesya berkongsi susu dengan adiknya yang masih usia bayi. Bahkan Triesya juga masih menggunakan lampin pakai buang yang sudah tentu memerlukan kos yang tinggi.

Bagaimanapun ibu ini bersyukur kerana Triesya mudah dijaga. Selepas dimandikan dan diberi makan dia tidak akan merengek lagi. Mujur dobi tempat saya kerja bersebelahan dengan bilik sewa, sesekali saya jenguk dia untuk lihat keadaannya selain mengalih-alihkan tubuhnya yang penat berbaring.

Norzarina bukan sengaja membiarkan anak-anaknya sekadar bermain hanya di dalam bilik kecil tersebut tetapi dia tidak mampu membawa Triesya terutamanya menghirup udara segar di luar. Dengan berat Triesya mencecah 30 kg, dia dan suami tidak mampu mengangkatnya. Justeru, dia sangat mengharapkan bantuan kerusi roda daripada pihak tertentu agar Triesya dapat melihat dunia luar yang sangat luas.

Itulah hakikat hidup anak kecil ini. Dunianya hanya di dalam bilik kecil bersebelahan kedai dobi tempat ibunya mencari rezeki. Bagi pembaca yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan bantuan kewangan ke nombor akaun 162200057035 Maybank atas nama Norzarina Suhaimi.

1 comment:

ajax85 said...

sabar ye..dugaan dari allah


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails